Wednesday, December 31, 2014

Refleksi Kem Budi: Biarkan aku bersama orang yang engkau JEBONkan itu


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratu waridhwanu

Penulisan ini pada asalnya terdorong oleh perasaan kecewa yang tidak terbendung. Biarkan sahaja ini menjadi warkah terbuka meluah rasa. Mereka cukup dewasa untuk tidak melakukan hal sedemikian rupa. Mungkin sahaja mereka terlupa atau sebagai salah satu ‘strategi’ siasah. Sepenuh harapan agar orang seperti mereka sebenarnya berhikmah atau tersalah. Bukan gunting dalam lipatan. Bukan musuh dalam selimut.

Ah, aku terlalu mentah untuk menilai baik buruk tindakan mereka. Bila difikirkan semula, jalan perjuangan memang sedia terbentang dengan duri. Bukan karpet merah. Dan yang paling utama, semuanya dalam perancangan Allah, dengan izin Allah, dalam kekuasaan Allah.  Ya aku masih lagi merangkak, masih lagi di tahap pemerhati. Belum lagi menjadi penggerak sejati. InshaAllah semoga tidak lama lagi, aku dapat turut serta menjadi pahlawan di medan ini.

Sebagaimana yang semua sedia maklum, premis penulisan ini adalah sebagai simbol ekspresi diri. Bukan makalah akademik.  Selain  daripada kehampaan, aku telah dirangsang melalui penyertaanku dalam Akademi Politik Budiman anjuran Pemuda PAS baru-baru ini. Ini semua kuasa Allah al-Bari’. Hampir sahaja aku ‘menguzurkan’ diri daripada hadir.

Pengenalan Akademi Budiman




Menurut kamus dewan, kata “budi” bermaksud akal, kebijaksanaan; ~pekerti: perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak; sifat baik, perbuatan baik, kebajikan dan bicara, daya upaya. Manakala “budiman” bermaksud berbudi, berakal, bijaksana.  Secara amnya, wawasan “politik budiman” yang dibawa oleh Jabatan Pendidikan Politik Dewan Pemuda PAS Pusat adalah agar politik dilaksanakan berasaskan fakta bukan sekadar sentimen dan emosi semata-mata dan mengekalkan adab dan akhlak dalam menjalaninya.

Melalui penerangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Suhaizan Kayat semasa program, berikut adalah gagasan yang ingin dibawa dalam politik budiman;
  1. Politik berdasarkan hujah dan ilmu
  2. Membudayakan adab berikhtilaf. Dalam perbezaan ada kasih sayang. Yang penting ikhlas
  3. Berpolitik antara akhlak dan etika (jauhi fitrah dan caci maki)
  4. Budaya syura sebagai kunci muafakat
  5. Inklusi dengan membina jaringan masyarakat
  6.  Jujur dan berana selesaikan konflik
  7. Integriti dan akauntibiliti

Penganjur meletakkan harapan kepada kami, para peserta agar menjadi sebahagian dariapada perintis yang menyebarkan, menggerakkan budaya politik politik terbuka dan bukan partisan semata-mata bahkan menjadi penjejak kebenaran. Langkah aku dalam medan politik Islam baru sahaja bermula (walaupun sebenarnya sendiri tak pasti dah mula ke belum).  Maka aku terpanggil untuk mengambil semangat tersebut . Maka fokus aku pada penulisan ini adalah pada perkara dua, membudayakan adab berikhtilaf.

Budaya Melabel

Aku sangat kecewa dengan label-label seperti ‘jebon’, erbakan vs erdogan, tak wala, fikrah bercelaru diberikan kepada mereka yang tidak sehaluan. Tidak se’fikrah’. Bagi aku selagi seseorang itu bergerak atas landasan ilmu dan kebenaran setiap orang berhak percaya dan bergerak atas apa yang dia percaya (selagi dalam kerangka syariat).Apabila bergerak sebgai sebuah organisasi terutamanya perlu ada pertimbangan dan perbincangan serta kesepakatan walaupun ada perbezaan pendapat, bagi memperoleh kemaslahtan secara maksimum.

Aku ambil contoh untuk isu perbezaan. Andy sepanjang hidupnya tinggal di Ladang Kuala Ketil, Kedah. Rahim pula tinggal di tengah kota di Jalan Taman Semarak, Kuala Lumpur.
Andy mungkin selesa dengan kehidupan serba sederhana di kampung. Udara yang segar. Cukup menunggang motosikal sahaja untuk bergerak ke sana ke mari. Hidup pun cukup sederhana.
Rahim pula senang dengan kehidupan di bandar, yang mempunyai pelbagai kemudahan baik pengangkutan mahupun perkhidmatan.

Tiba suatu masa, Andy dan Rahim tinggal di sebuah universiti separa bandar seperti di…. Rahim asyik merungut dengan kehadiran nyamuk, kemudahan awam kurang, line tak jelas, kemudahan 3G pun hidup segan mati tak mahu. Padahal itu benda kecil pada Andy. “Ah, dasar budak Bandar, manja, tak reti nak hidup susah”

Andy pula kekok menggunakan sistem dan teknologi di universiti yang tak pernah dia gunakan di kampung terutamanya dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. “Benda kecil pun tak tahu.”

Di sebalik semua persepsi, Andy dan Rahim mungkin boleh menjadikan fikiran keadaan mereka lebih positif. Sebagai contoh, Andy berkongsi kemahiran-kemahiran hidup mandiri. Begitu juga Rahim berkongsi kebolehannya mengendalikan perkara-perkara yang “asing” pada Andy.
Ini baru perbezaan tempat tinggal dah menghasilkan macam-macam perbezaan bagi pembentukan diri seseorang itu. Apa lagi, belajar di tempat berbeza, kos yang berbeza, bergaul dengan orang berrbeza, baca buku berbeza genre, sumber.

Enta liberal! Hang syadid! Enta sekular! Hang jumud! Enta tak wala! Hang membabi buta! Futur!

Serba sedikit melalui Kem Budi, yang aku kaitkan dengan hidup aku sendiri, aku dapat simpulkan, isu label melabel, memandang orang rendah dan sebagainya berpunca daripada beberapa perkara.
Selain daripada perbezaan latar belakang kegagalan memahami teks dan konteks menjadi salah satu punca perkara ini berlaku. Maksud aku tentang perkara yang berlaku adalah hasil daripada suatu perjalan, sejarah yang berlaku sebelumnya. Setiap seorang mempunyai sisi pandang yang berbeza. Cara memahami sesuatu perkara yang berbeza. Apabila kurang sumber maka akan berlaku kepincangan pada pendirian yang cuba dibentuk. Macam aku sendiri. Sudahlah buta politik buta ekonomi. Aku benar-benar terkesan dengan pengisian Saudara Hazman Baharom (pengasas Universiti Terbuka Anak Muda) di bawah tajuk kesenjangan. Aku melihat kapitalis itu adalah buruk semata-mata. Itu sistem kafir. Sistem yang menindas, tidak berasaskan Islam. Padahal hakikat kapitalis itu ada sejarahnya, bahawa manusia cuba datangkan sesuatu untuk mencapai kehidupan yang lebih baik. Walaupun hakikatnya sekarang kita dapat lihat sistem kapitalis itu sememangnya semakin menekan kini. Manusia cuba untuk berfikir dan membina kehidupan yang ideal. Tidak sekadar itu memprovok kami bahawasanya sistem ekonomi Islam itu tidak wujud bagi menangani masalah sistem yang ada SEKARANG. Yang ada cuma garis panduan halal dan haram yang pula. Bukan satu SISTEM LENGKAP.

Selalunya perkara yang dikhilafkan ini tiada yang salah tiada yang betul secara hakiki. Selagi mana kita punya reasoning yang kuat untuk mewajarkan sesuatu, just go for it. Tetapi hakikatnya, kita manusia yang lemah senang bersifat skeptikal terhadap sesuatu. Sebagai contoh aku sendiri, aku skeptik terhadap sistem pendidikan sedia ada. Dilema antara mendidik dan mengajar terus menerus berlaku tanpa solusi. Sekali lagi aku sebagai (bakal) guru cuba bersikap ideal. Sepatutnya macam ini sepatutnya macam itu. Apa lagi yang dibangunkan oleh PAS sendiri yang tak pernah memerintah negara, mengurustadbir kementerian pendidikan. Sayang, aku tidak sempat mengikuti pengisian oleh Dr Riduan Mohd Nor tentang ini. Terus terang, seperti sebelum ini awal-awal aku dah block diri aku daripada mencerna penjelasan yang diberikan. Padan muka ke hang lah.

Cabaran seterusnya adalah untuk bersikap adil. Adil dalam menjadi penyokong atau pendokong kebenaran, dan menolak kebatilan. Aku gembira, dipertemukan dengan Dr Dzulkefli Ahmad. Beliau merupakan Penyarah Pusat Pernyelidikan PAS Pusat. Dalam slot pengisiannya iaitu bedah buku Dasar Ekonomi Era Mahathir, pengisiannya aku rasakan seimbang. Mana yang perlu dipuji beliau puji, sebagaimana yang beliau kritik seperti middle-income trap, beliau kritik. Walaupun sukar untuk aku garap semua yang diceritakannya tetang ekonomi, aku bersyukur, Allah bagi aku kefahaman untuk memahami nilai yang ditunjukkan oleh Dr Dzul. Mudah-mudahan aku dapat mencontohi nilai itu. Bukan bermakna membangkang perlu terus membangkang segala yang diusulkan dan yang menyokong membabi buta mendokong.

Apa yang boleh aku simpulkan, perkara ini (buat orang seperti aku lah) isu ini takkan pernah berhenti selagi masalah akar umbi tidak dirawat. Selagi masih ada yang EGOIS, BODOH SOMBONG, dan rasa HANYA DIRI SENDIRI YANG BETUL. Padahal dunia bukan hanya ada A dan B. Perkara akar umbi yang paling utama adalah KERAPUHAN AKHLAK.

Aku Gembira Bersama Jebon

Aku sedar apa yang berlaku tak semudah seperti yang aku nukilkan.

Pengisian dua ke tiga hari di Kem Budi yang aku sertai benar-benar menyegarkan. Menyegarkan minda yang layu, akal yang berasa cukup dengan berteori semata-mata, badan kerap membangau.
Mungkin seribu satu cara boleh disenaraikan untuk menyelesaikan perkara ini. Bahasa penulisan aku, mungkin terlalu romantis, idealis. Mungkin juga cliché dan terlalu common. Namun kerana  common sense itu semakin pudar aku tuliskan juga penulisan ini.

Belajarlah untuk saling menghargai. Kerana apa? Pertama, kerana kita tahu,kita tidak akan pernah mampu untuk buat semua benda sendirian tanpa bantuan orang lain kerana pelbagai limitasi dan kelemahan yang setiap daripada kita ada. Setiap orang ada kepakaran dan peranan masing-masing dalam mentadbir memakmurkan bumi Allah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalidahKedua kerana dunia ini bukan hanya hitam dan putih. Bagaimana? Luaskan rangkaian perhubungan kita,. Berkawanlah dengan orang pelbagai latar belakang. Kemudian, seek first to understand than to be understood. Berkasih sayanglah. Bila kasih sudah ada,biarpun ada pertembungan, inshaAllah kita akan mudah untuk berlapang dada dan agree to disagree. Seperkara lagi gunakan peluang yang ada untuk bertemu mata ke mata, berdiskusi, mengadakan wacana, debat dan sebagainya sebagai tanda professionalisme. Penyataan dalam akhbar dan media sosial secara umum mungkin membantu, namun bahasa tulisan kerap kali akan timbul salah faham pada kandungannya pada nadanya. Salah faham yang akan terus menyebabkan kita menarik muka .
Sering bermain dalam fikiran, buat para pemikir yang tidak sehaluan dengan mainstream, seringkali mendapat kecaman. Padahal sebagai orang luar, aku sendiri nampak mereka turut berusaha berfikir untuk mencari solusi yang terbaik, untuk sama-sama menyumbang yang terbaik kepada perjuangan menegakkan syariat Islam dan untuk memajukan serta meletakkan keadilan sebainya dalam negara kita Malaysia. 

Aku pernah terbaca hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud 

“Orang yang berfikir sesaat lebih baik daripada mereka yang solat seribu rakaat (yang tidak khusyuk)”. 

Bagaimana pula orang yang kerjanya asyik memperlagakan dan merendahkan orang lain. Asyik berfikir orang mana yang mereka nak jadikan “jebon”. “Jebon-jebon” inilah yang sibuk membuat pelbagai penyelidikan, mencari solusi terbaik menerangkan kekaburan ayat “solusi terbaik adalah kembali kepada Islam” yang sering dicanangkan. Mereka inilah yang cuba hadir dengan pelbagai alternatif bagi menggantikan sistem yang bobrok yang asyik kita bangkangkan tanpa memberikan penyelesaian yang nyata. Tidak mampu untuk berfikir, maka jangan bazirkan masa dan buang tenaga untuk saling menjatuhkan yang hakikatnya langsung tidak bermanfaat dan sangat merugikan. Aku ingin mencadangkan untuk kita yang tidak mampu berfikir untuk menjadi tenaga yang menjalankan hasil-hasil kajian.

Kesimpulannya,berlapang dadalah dan uruskan perbezaan dengan bijaksana. Aku teringat akan tulisan Ustaz Mohamad Ridhauddin di laman sesawangnya ridhauddin.com bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila isu-isu perselisihan pendapat ini lebih panas daripada isu umat. Selain daripada itu, harus kita jernihkan kembali fikrah kita, bahawa hidup ini ada dua. Hablul minallah dan hamblul minannas. Kedua-duanya adalah arahan agama. Jagalah akhlak kita, pada Tuhan dan sesame manusia. Setakat pengalaman dan pengetahuan yang aku ada, bumi Malaysia terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dari dahulu lagi terkenal dengan adat dan adabnya penuh sopan santun. Tetapi segala-galanya seolah terhakis dibawa peralihan zaman. Kita semakin hilang malu untuk mencerca dan memaki orang. Meletakkan dengan panggilan yang bukan-bukan. Islam tidak pernah mengajar begitu. Kata-kata kesat tidak lagi menjadi taboo dalam masyarakat.

Bagi yang masih ingin meneruskan juga mainan saraf dan memecahkan (menurut aku yang mentah ni) ikatan yang ada dan membelakangkan IMAN, UKHUWWAH dan KASIH SAYANG, falyatafaddhol mashkuura.

Namun kuncinya, hang nak bercakap ka, hang nak menulis ka, hang nak buat apa hang nak, tolong berilmu. (cakap dengan cermin)Yang orang hang duk panggil jebon tu lagi banyak berfikir, daripada hangpa yang asyik menjebonkan orang. Dia dapat pahala, dia penat menyumbang kat dunia. Hang sumbang apa? Hang dah PECAH BELAHKAN orang!

Ya,  aku gembira bersama jebon itu. Gembira disajikan dengan fakta dan perbincangan ilmiah. Bukan mainan sentimen ataupun doktrin semata-mata!

El Amor No Es Como Lo Pintan. (tajuk cerita yang bermaksud “cinta itu bukan sesuatu yang mereka ciptakan”)

Bagi yang baru selesai “latihan awal”, memasuki medan sekarang mungkin cabaran besar dan bukan pilihan yang terbaik. Polemik yang berlaku sekarang benar-benar merimaskan, melemaskan dan boleh sampai menjengkelkan. Namun usah lari. Perkara ini mengingatkan aku akan pesan Ustaz Nasaie. Dalam zon konflik ini, tidak perlu terjun terus ke medan. Ambil peluang untuk menuntut ilmu sebanyaknya. Jika tidak lebih ramai yang akan tercedera dalam kemelut serang-menyerang sekarang ini.

p/s: ilmu itu aku kirakan kedua-dua ilmu menjadi hamba dan ilmu mengendalikan dunia

Selain tercedera, yang akan terhasil hanyalah ekstrimis ataupun orang yang terus lari daripada perjuangan. Jika betul ada “parasit” yang sedang merosakkan Jemaah dari dalam, biarkan mereka yang lebih “matang” dan berpengalaman membuat perhitungan. Untuk dirawat, dineutralkan atau dihapuskan. Aku tak ingat kata-kata siapa. "Jemaah ini milik Allah". Kita harus meruskan gerakan di peringkat akan umbi. Tetapkan diri. Kita barisan pelapis, perlu mempersiapkan diri, rohani, akal dan jasmani untuk meneruskan perjuangan, mencipta legasi politik matang, politik budiman.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
(Surah al-Hujarat 49:11)



p/s: aku semakin SEBEL (jawa = geram, tak puas hati) dengan dalam keaadaan bencana sebegini masih tak sudah-sudah dengan adu domba! Cukuplah. Pergilah tolong depa. Saudara-saudara kita dah hilang rumah. Yang mungkin ada HANYA sisa tangga. Hang masih nak buat perangai!

Aku juga sayang ulama,

Nusaybah

Nusaybah SPN

1 comment:

Unknown said...

waauuu cikgu aNA skunk dah org PAS skunk hahaha