Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratu waridhwanu
Penulisan ini pada asalnya terdorong oleh perasaan kecewa
yang tidak terbendung. Biarkan sahaja ini menjadi warkah terbuka meluah rasa.
Mereka cukup dewasa untuk tidak melakukan hal sedemikian rupa. Mungkin sahaja
mereka terlupa atau sebagai salah satu ‘strategi’ siasah. Sepenuh harapan agar
orang seperti mereka sebenarnya berhikmah atau tersalah. Bukan gunting dalam
lipatan. Bukan musuh dalam selimut.
Ah, aku terlalu mentah untuk menilai baik buruk tindakan
mereka. Bila difikirkan semula, jalan perjuangan memang sedia terbentang dengan
duri. Bukan karpet merah. Dan yang paling utama, semuanya dalam perancangan
Allah, dengan izin Allah, dalam kekuasaan Allah. Ya aku masih lagi merangkak, masih lagi di
tahap pemerhati. Belum lagi menjadi penggerak sejati. InshaAllah semoga tidak
lama lagi, aku dapat turut serta menjadi pahlawan di medan ini.
Sebagaimana yang semua sedia maklum, premis penulisan ini
adalah sebagai simbol ekspresi diri. Bukan makalah akademik. Selain
daripada kehampaan, aku telah dirangsang melalui penyertaanku dalam
Akademi Politik Budiman anjuran Pemuda PAS baru-baru ini. Ini semua kuasa Allah
al-Bari’. Hampir sahaja aku ‘menguzurkan’ diri daripada hadir.
Pengenalan Akademi
Budiman
Menurut kamus dewan, kata “budi” bermaksud akal,
kebijaksanaan; ~pekerti: perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak; sifat
baik, perbuatan baik, kebajikan dan bicara, daya upaya. Manakala “budiman”
bermaksud berbudi, berakal, bijaksana. Secara amnya, wawasan “politik budiman” yang
dibawa oleh Jabatan Pendidikan Politik Dewan Pemuda PAS Pusat adalah agar
politik dilaksanakan berasaskan fakta bukan sekadar sentimen dan emosi
semata-mata dan mengekalkan adab dan akhlak dalam menjalaninya.
Melalui penerangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara
Suhaizan Kayat semasa program, berikut adalah gagasan yang ingin dibawa dalam
politik budiman;
- Politik berdasarkan hujah dan ilmu
- Membudayakan adab berikhtilaf. Dalam perbezaan ada kasih sayang. Yang penting ikhlas
- Berpolitik antara akhlak dan etika (jauhi fitrah dan caci maki)
- Budaya syura sebagai kunci muafakat
- Inklusi dengan membina jaringan masyarakat
- Jujur dan berana selesaikan konflik
- Integriti dan akauntibiliti
Penganjur meletakkan harapan kepada kami, para peserta agar
menjadi sebahagian dariapada perintis yang menyebarkan, menggerakkan budaya politik
politik terbuka dan bukan partisan semata-mata bahkan menjadi penjejak
kebenaran. Langkah aku dalam medan politik Islam baru sahaja bermula (walaupun
sebenarnya sendiri tak pasti dah mula ke belum). Maka aku terpanggil untuk mengambil semangat
tersebut . Maka fokus aku pada penulisan ini adalah pada perkara dua, membudayakan
adab berikhtilaf.
Budaya Melabel
Aku sangat kecewa dengan label-label seperti ‘jebon’, erbakan
vs erdogan, tak wala, fikrah bercelaru diberikan kepada mereka yang tidak
sehaluan. Tidak se’fikrah’. Bagi aku selagi seseorang itu bergerak atas
landasan ilmu dan kebenaran setiap orang berhak percaya dan bergerak atas apa
yang dia percaya (selagi dalam kerangka syariat).Apabila bergerak sebgai sebuah
organisasi terutamanya perlu ada pertimbangan dan perbincangan serta kesepakatan
walaupun ada perbezaan pendapat, bagi memperoleh kemaslahtan secara maksimum.
Aku ambil contoh untuk isu perbezaan. Andy sepanjang hidupnya
tinggal di Ladang Kuala Ketil, Kedah. Rahim pula tinggal di tengah kota di
Jalan Taman Semarak, Kuala Lumpur.
Andy mungkin selesa dengan kehidupan serba sederhana di
kampung. Udara yang segar. Cukup menunggang motosikal sahaja untuk bergerak ke
sana ke mari. Hidup pun cukup sederhana.
Rahim pula senang dengan kehidupan di bandar, yang mempunyai
pelbagai kemudahan baik pengangkutan mahupun perkhidmatan.
Tiba suatu masa, Andy dan Rahim tinggal di sebuah universiti
separa bandar seperti di…. Rahim asyik merungut dengan kehadiran nyamuk,
kemudahan awam kurang, line tak
jelas, kemudahan 3G pun hidup segan mati tak mahu. Padahal itu benda kecil pada
Andy. “Ah, dasar budak Bandar, manja, tak reti nak hidup susah”
Andy pula kekok menggunakan sistem dan teknologi di
universiti yang tak pernah dia gunakan di kampung terutamanya dalam
menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. “Benda kecil pun tak tahu.”
Di sebalik semua persepsi, Andy dan Rahim mungkin boleh
menjadikan fikiran keadaan mereka lebih positif. Sebagai contoh, Andy berkongsi
kemahiran-kemahiran hidup mandiri. Begitu juga Rahim berkongsi kebolehannya
mengendalikan perkara-perkara yang “asing” pada Andy.
Ini baru perbezaan tempat tinggal dah menghasilkan
macam-macam perbezaan bagi pembentukan diri seseorang itu. Apa lagi, belajar di
tempat berbeza, kos yang berbeza, bergaul dengan orang berrbeza, baca buku
berbeza genre, sumber.
Enta liberal! Hang syadid! Enta sekular! Hang jumud! Enta
tak wala! Hang membabi buta! Futur!
Serba sedikit melalui Kem Budi, yang aku kaitkan dengan
hidup aku sendiri, aku dapat simpulkan, isu label melabel, memandang orang
rendah dan sebagainya berpunca daripada beberapa perkara.
Selain daripada perbezaan latar belakang kegagalan memahami
teks dan konteks menjadi salah satu punca perkara ini berlaku. Maksud aku
tentang perkara yang berlaku adalah hasil daripada suatu perjalan, sejarah yang
berlaku sebelumnya. Setiap seorang mempunyai sisi pandang yang berbeza. Cara
memahami sesuatu perkara yang berbeza. Apabila kurang sumber maka akan berlaku
kepincangan pada pendirian yang cuba dibentuk. Macam aku sendiri. Sudahlah buta
politik buta ekonomi. Aku benar-benar terkesan dengan pengisian Saudara Hazman
Baharom (pengasas Universiti Terbuka Anak Muda) di bawah tajuk kesenjangan. Aku
melihat kapitalis itu adalah buruk semata-mata. Itu sistem kafir. Sistem yang
menindas, tidak berasaskan Islam. Padahal hakikat kapitalis itu ada sejarahnya,
bahawa manusia cuba datangkan sesuatu untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
Walaupun hakikatnya sekarang kita dapat lihat sistem kapitalis itu sememangnya
semakin menekan kini. Manusia cuba untuk berfikir dan membina kehidupan yang
ideal. Tidak sekadar itu memprovok kami bahawasanya sistem ekonomi Islam itu
tidak wujud bagi menangani masalah sistem yang ada SEKARANG. Yang ada cuma
garis panduan halal dan haram yang pula. Bukan satu SISTEM LENGKAP.
Selalunya perkara yang dikhilafkan ini tiada yang salah
tiada yang betul secara hakiki. Selagi mana kita punya reasoning yang kuat untuk mewajarkan sesuatu, just go for it. Tetapi hakikatnya, kita manusia yang lemah senang
bersifat skeptikal terhadap sesuatu. Sebagai contoh aku sendiri, aku skeptik
terhadap sistem pendidikan sedia ada. Dilema antara mendidik dan mengajar terus
menerus berlaku tanpa solusi. Sekali lagi aku sebagai (bakal) guru cuba bersikap ideal.
Sepatutnya macam ini sepatutnya macam itu. Apa lagi yang dibangunkan oleh PAS sendiri
yang tak pernah memerintah negara, mengurustadbir kementerian pendidikan.
Sayang, aku tidak sempat mengikuti pengisian oleh Dr Riduan Mohd Nor tentang
ini. Terus terang, seperti sebelum ini awal-awal aku dah block diri aku daripada mencerna penjelasan yang diberikan. Padan
muka ke hang lah.
Cabaran seterusnya adalah untuk bersikap adil. Adil dalam
menjadi penyokong atau pendokong kebenaran, dan menolak kebatilan. Aku gembira,
dipertemukan dengan Dr Dzulkefli Ahmad. Beliau merupakan Penyarah Pusat
Pernyelidikan PAS Pusat. Dalam slot pengisiannya iaitu bedah buku Dasar Ekonomi
Era Mahathir, pengisiannya aku rasakan seimbang. Mana yang perlu dipuji beliau
puji, sebagaimana yang beliau kritik seperti middle-income trap, beliau kritik. Walaupun sukar untuk aku garap
semua yang diceritakannya tetang ekonomi, aku bersyukur, Allah bagi aku
kefahaman untuk memahami nilai yang ditunjukkan oleh Dr Dzul. Mudah-mudahan aku
dapat mencontohi nilai itu. Bukan bermakna membangkang perlu terus membangkang
segala yang diusulkan dan yang menyokong membabi buta mendokong.
Apa yang boleh aku simpulkan, perkara ini (buat orang
seperti aku lah) isu ini takkan pernah berhenti selagi masalah akar umbi tidak
dirawat. Selagi masih ada yang EGOIS, BODOH SOMBONG, dan rasa HANYA DIRI
SENDIRI YANG BETUL. Padahal dunia bukan hanya ada A dan B. Perkara akar umbi
yang paling utama adalah KERAPUHAN AKHLAK.
Aku Gembira Bersama
Jebon
Aku sedar apa yang berlaku tak semudah seperti yang aku
nukilkan.
Pengisian dua ke tiga hari di Kem Budi yang aku sertai
benar-benar menyegarkan. Menyegarkan minda yang layu, akal yang berasa cukup
dengan berteori semata-mata, badan kerap membangau.
Mungkin seribu satu cara boleh disenaraikan untuk
menyelesaikan perkara ini. Bahasa penulisan aku, mungkin terlalu romantis,
idealis. Mungkin juga cliché dan terlalu common.
Namun kerana common sense itu semakin pudar aku tuliskan juga penulisan ini.
Belajarlah untuk saling menghargai. Kerana apa? Pertama,
kerana kita tahu,kita tidak akan pernah mampu untuk buat semua benda sendirian
tanpa bantuan orang lain kerana pelbagai limitasi dan kelemahan yang setiap
daripada kita ada. Setiap orang ada kepakaran dan peranan masing-masing dalam
mentadbir memakmurkan bumi Allah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai
khalidahKedua kerana dunia ini bukan hanya hitam dan putih. Bagaimana? Luaskan rangkaian
perhubungan kita,. Berkawanlah dengan orang pelbagai latar belakang. Kemudian, seek first to understand than to be
understood. Berkasih sayanglah. Bila kasih sudah ada,biarpun ada
pertembungan, inshaAllah kita akan mudah untuk berlapang dada dan agree to disagree. Seperkara lagi
gunakan peluang yang ada untuk bertemu mata ke mata, berdiskusi, mengadakan
wacana, debat dan sebagainya sebagai tanda professionalisme. Penyataan dalam
akhbar dan media sosial secara umum mungkin membantu, namun bahasa tulisan
kerap kali akan timbul salah faham pada kandungannya pada nadanya. Salah faham
yang akan terus menyebabkan kita menarik muka .
Sering bermain dalam fikiran, buat para pemikir yang tidak
sehaluan dengan mainstream,
seringkali mendapat kecaman. Padahal sebagai orang luar, aku sendiri nampak
mereka turut berusaha berfikir untuk mencari solusi yang terbaik, untuk
sama-sama menyumbang yang terbaik kepada perjuangan menegakkan syariat Islam
dan untuk memajukan serta meletakkan keadilan sebainya dalam negara kita
Malaysia.
Aku pernah terbaca hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud
“Orang yang
berfikir sesaat lebih baik daripada mereka yang solat seribu rakaat (yang tidak
khusyuk)”.
Bagaimana pula orang yang kerjanya asyik memperlagakan dan merendahkan
orang lain. Asyik berfikir orang mana yang mereka nak jadikan “jebon”.
“Jebon-jebon” inilah yang sibuk membuat pelbagai penyelidikan, mencari solusi
terbaik menerangkan kekaburan ayat “solusi terbaik adalah kembali kepada Islam”
yang sering dicanangkan. Mereka inilah yang cuba hadir dengan pelbagai
alternatif bagi menggantikan sistem yang bobrok yang asyik kita bangkangkan
tanpa memberikan penyelesaian yang nyata. Tidak mampu untuk berfikir, maka
jangan bazirkan masa dan buang tenaga untuk saling menjatuhkan yang hakikatnya
langsung tidak bermanfaat dan sangat merugikan. Aku ingin mencadangkan untuk
kita yang tidak mampu berfikir untuk menjadi tenaga yang menjalankan
hasil-hasil kajian.
Kesimpulannya,berlapang dadalah dan uruskan perbezaan dengan
bijaksana. Aku teringat akan tulisan Ustaz Mohamad Ridhauddin di laman
sesawangnya ridhauddin.com bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila isu-isu
perselisihan pendapat ini lebih panas daripada isu umat. Selain daripada itu,
harus kita jernihkan kembali fikrah kita, bahawa hidup ini ada dua. Hablul
minallah dan hamblul minannas. Kedua-duanya adalah arahan agama. Jagalah akhlak
kita, pada Tuhan dan sesame manusia. Setakat pengalaman dan pengetahuan yang
aku ada, bumi Malaysia terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dari
dahulu lagi terkenal dengan adat dan adabnya penuh sopan santun. Tetapi
segala-galanya seolah terhakis dibawa peralihan zaman. Kita semakin hilang malu
untuk mencerca dan memaki orang. Meletakkan dengan panggilan yang bukan-bukan.
Islam tidak pernah mengajar begitu. Kata-kata kesat tidak lagi menjadi taboo dalam masyarakat.
Bagi yang masih ingin meneruskan juga mainan saraf dan
memecahkan (menurut aku yang mentah ni) ikatan yang ada dan membelakangkan IMAN, UKHUWWAH dan KASIH SAYANG, falyatafaddhol mashkuura.
Namun kuncinya, hang nak bercakap ka, hang nak menulis ka,
hang nak buat apa hang nak, tolong berilmu. (cakap dengan cermin)Yang orang
hang duk panggil jebon tu lagi banyak berfikir, daripada hangpa yang asyik
menjebonkan orang. Dia dapat pahala, dia penat menyumbang kat dunia. Hang
sumbang apa? Hang dah PECAH BELAHKAN orang!
Ya, aku gembira
bersama jebon itu. Gembira disajikan dengan fakta dan perbincangan ilmiah.
Bukan mainan sentimen ataupun doktrin semata-mata!
El Amor No Es Como Lo
Pintan. (tajuk cerita yang bermaksud “cinta itu bukan sesuatu yang mereka
ciptakan”)
Bagi yang baru selesai “latihan awal”, memasuki medan
sekarang mungkin cabaran besar dan bukan pilihan yang terbaik. Polemik yang
berlaku sekarang benar-benar merimaskan, melemaskan dan boleh sampai menjengkelkan.
Namun usah lari. Perkara ini mengingatkan aku akan pesan Ustaz Nasaie. Dalam zon
konflik ini, tidak perlu terjun terus ke medan. Ambil peluang untuk menuntut
ilmu sebanyaknya. Jika tidak lebih ramai yang akan tercedera dalam kemelut
serang-menyerang sekarang ini.
p/s: ilmu itu aku kirakan kedua-dua ilmu menjadi hamba dan ilmu mengendalikan dunia
Selain tercedera, yang akan terhasil hanyalah ekstrimis
ataupun orang yang terus lari daripada perjuangan. Jika betul ada “parasit”
yang sedang merosakkan Jemaah dari dalam, biarkan mereka yang lebih “matang” dan
berpengalaman membuat perhitungan. Untuk dirawat, dineutralkan atau dihapuskan. Aku tak ingat kata-kata siapa. "Jemaah ini milik Allah". Kita harus meruskan gerakan di peringkat akan umbi. Tetapkan diri. Kita barisan
pelapis, perlu mempersiapkan diri, rohani, akal dan jasmani untuk meneruskan
perjuangan, mencipta legasi politik matang, politik budiman.
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
(Surah al-Hujarat 49:11)
p/s: aku semakin SEBEL (jawa = geram, tak puas hati) dengan dalam keaadaan bencana sebegini masih tak sudah-sudah dengan adu domba! Cukuplah. Pergilah tolong depa. Saudara-saudara kita dah hilang rumah. Yang mungkin ada HANYA sisa tangga. Hang masih nak buat perangai!
Aku juga sayang ulama,
Nusaybah
Nusaybah SPN